Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, saidina Bilal r.a antara sahabat yang tidak mampu lagi bermukim di bumi Madinah. Segala-galanya di kiri dan kanannya mengingatkan kembali kepada nostalgia bersama nabi s.a.w. Lantas beliau membawa diri ke Badariaan – sebuah tempat berdekatan Syam – untuk mengurangkan kesedihan hati.
Satu hari saidina Bilal r.a didatangi oleh baginda s.a.w dalam mimpi. Baginda s.a.w berkata: “Mengapa kamu menyepi wahai Bilal? Tidakkah kamu teringin menziarahiku ketika ini?”.
Tersedar daripada tidur dengan dalam keadaan sedih dan takut, beliau dengan segera menunggang kenderaan menuju ke Madinah dan terus mendatangi kuburan nabi s.a.w. Kesedihan menyelubungi diri, kisah pahit manis perjuangan bersama nabi s.a.w telah meletakkan cintanya kepada rasulullah s.a.w melebihi daripada segala-galanya. Kini semuanya tinggal kenangan dalam memori.
Sesuai melepas rindunya kepada baginda s.a.w di perkuburan tersebut, dia mencari-cari cucu kesayangan nabi s.a.w, Hasan dan Husin r.a. Mereka dipeluk cium tanda cinta yang tidak berbelah bahagi. Pinta mereka kepada saidina Bilal r.a; “kami berharap sangat untuk mendengar kembali azanmu yang telah dikumandangkan kepada Rasulullah s.a.w di masjid.”
Bagi tidak menghampakan harapan tersebut, bumbung masjid tempat yang selalu dia berdiri mengalungkan azan dipijaknya kembali. Azan pertama dalam sejarah Islam dari mulut bekas seorang hamba ini merupakan satu penghargaan nabi s.a.w kepadanya.
Nafas ditarik…..azan dilaungkan dengan penuh syahdu. Bila kalimah ‘Allahu Akbar! Allahu Akbar!’ dialunkan, bergegarlah seisi Madinah.
‘Asyahadu an la ilaha ila Allah’, jiwa penghuni Madinah makin bergetar. Suara yang pernah didengari pada waktu dan ketika nabi s.a.w masih hidup kembali memenuhi ceruk-ceruk Madinah.
Takkala laungan ‘Ashadu an na Muhammadan Rasulullah’ kedengaran, keluarlah para wanita daripada rumah-rumah mereka seraya berkata ; ‘Adakah Rasulullah s.a.w telah dibangkitkan?’.
Seisi Madinah diselubungi hiba, azan saidina Bilal r.a mengingatkan kembali kepada nostalgia manis bersama baginda s.a.w. Tidaklah dilihat satu hari pun yang paling banyak manusia menangis di Madinah selepas kewafatan nabi s.a.w selain daripada hari tersebut, dek kerana rindu dan teringatkan nabi s.a.w.
Inilah tanda cinta para sahabat kepada Rasulullah s.a.w, yang sukar untuk kita temui sekarang.
(Adaptasi daripada riwayat ibnu asakir daripada sanad junaid)
Pesan Hassan al-Banna
“Duhai manusia, datanglah kepada kami. Sesiapa yang tidak boleh menziarahi Rasulullah s.a.w datanglah kepada kami. Kami adalah pengemis di pintu Rasulullah s.a.w. Sesiapa yang tidak pernah mendengar kisah hidup Rasulullah s.a.w, patut sekali datang mendengarnya daripada kami.”
‘Baginda Rasulullah s.a.w hidup di dalam hati kami dan baginda mendengar segala-galanya. Rasulullah s.a.w hidup di dalam hati-hati yang mempertahankan Islam dan juga di dalam hati yang penuh dengan kasih sayang serta iman yang datang daripada ajarannya.’
Muhasabahlah cinta kita kepada Rasulullah.
~~~Ajarlah anak cintakan Rasul~~~
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
5 days ago
0 comments:
Post a Comment